Sabtu, 21 Juni 2008

Memilih-milih Antara Mazhab

Memilih-milih Antara Mazhab





Di akhir Bab 9 telah dinukil kata-kata Ibn al-Shalah dan Ibn Taimiyyah yang membolehkan seseorang itu, sekalipun dia bukan seorang mujtahid untuk mengikuti hadis sahih yang ditemuinya dan meninggalkan pendapat imam mazhab ikutannya. Dia juga boleh mengikut pendapat imam mazhab yang lain jika hadis sahih yang ditemuinya itu merupakan pendapat imam tersebut. Subjek ini dibahas dengan lebih terperinci di dalam Bab 10 dengan contoh meninggalkan pendapat al-Syafi‘e kepada pendapat al-Syaukani dalam hukum berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung ketika berwudhu’.

Soalan yang timbul di sini adalah: Bolehkan seseorang itu dalam sebahagian masalah mengikut pendapat mazhab asalnya dan dalam sebahagian masalah lain mengikut mazhab yang lain ? Bolehkan dia memilih-milih dan mencampur-aduk antara beberapa mazhab fiqh Islam ?

Memilih-milih antara mazhab, sama ada seluruhnya atau sebahagiannya dinamakan talfiq. Dari sudut bahasa talfiq bererti:

Menyamakan atau merapatkan dua hujung barang yang berbeda atau membubuhkan atau menambahkan yang dipergunakan untuk suatu berita atau cerita.

Ensiklopidi Islam menerangkan beberapa maksud talfiq dalam konteks mazhab-mazhab fiqh Islam:

1. Menurut istilah para ahli fiqh, talfiq ialah mengikuti suatu hukum tentang suatu peristiwa dengan mengambilnya dari pelbagai mazhab.

2. Talfiq juga adalah sebutan bagi seseorang yang dalam beribadah mengikuti salah satu pendapat dari mazhab yang empat atau mazhab lain yang popular tetapi ia mengikuti pula mazhab yang lain dalam hal yang pokok atau salah satu bahagian tertentu.

3. Ada juga ulama' yang mendefinisikan talfiq sebagai mengikuti atau bertaqlid kepada dua atau lebih imam mujtahid dalam melaksanakan suatu amal ibadah sedangkan kedua-dua imam yang bersangkutan tidak mengakui sahnya amal ibadah tersebut kerana tidak sesuai dengan pendapat mereka masing-masing.

4. Ada juga yang mendefinisikan talfiq dengan beramal dalam suatu masalah menurut hukum yang merupakan gabungan dari dua mazhab atau lebih atau menentukan hukum suatu peristiwa berdasarkan pendapat pelbagai mazhab. [1]

Secara umumnya terdapat 3 pendapat tentang hukum talfiq:

Pertama: Tidak boleh melakukan talfiq. Seseorang itu hendaklah tetap mengikuti satu mazhab sahaja.

Kedua: Dibolehkan talfiq hanya dalam suasana terdesak atau berkeperluan. Tidak boleh melakukan talfiq dalam kehidupan harian.

Ketiga: Dibolehkan talfiq dalam kehidupan sehari-harian tanpa terhad kepada suasana terdesak atau berkeperluan.



Pendapat yang benar dan sebab-sebabnya:

Pendapat yang dianggap benar ialah pendapat yang ketiga, iaitu boleh melakukan talfiq di dalam kehidupan sehari-harian tanpa terhad kepada suasana darurat atau terdesak. Sebab-sebabnya adalah seperti berikut:

1. Ketaatan yang diwajibkan ke atas umat Islam ialah kepada al-Qur’an dan al-Sunnah, bukan mazhab-mazhab. Peranan mazhab ialah memudahkan orang awam untuk mentaati al-Qur’an dan al-Sunnah. Justeru mengikuti salah satu mazhab atau kedua-duanya atau kesemuanya tetap akan membawa seseorang kepada ketaatan al-Qur’an dan al-Sunnah.

2. Flowchart: Document: Memilih-milih antara aja-ran mazhab (talfiq) tidak boleh dilakukan semata-mata atas alasan mencari yang mudah kerana ini bererti meremehkan agama yang akhirnya akan me-nyebabkan dia terkeluar daripada syari‘at Islam.Semua ajaran mazhab fiqh Islam yang empat: Mazhab Hanafi, Maliki, al-Syafi‘e dan Hanbali adalah berdasarkan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Mengikuti salah satu daripadanya atau kedua-duanya atau kesemuanya tidak mengeluarkan seseorang itu daripada ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah.

3. Semua mazhab fiqh Islam adalah betul, tidak ada satu yang lebih betul daripada yang lain dan tidak ada satu yang lebih lemah daripada yang lain.

4. Jika dikaji sejarah kelahiran mazhab-mazhab fiqh Islam, tujuan asal para imam mazhab ialah menyampai dan memudahkan pengajian ilmu kepada orang ramai. Orang ramai boleh memilih daripada siapa mereka hendak menerima ilmu tersebut tanpa terbatas kepada seorang imam sahaja.

5. Jauh sekali daripada tujuan asal para imam mazhab untuk membataskan seseorang kepada ajaran mereka sahaja. Para imam mazhab tidak pernah melarang murid-murid mereka untuk mengikuti ajaran mazhab yang lain.

6. Para tabi‘in, iaitu generasi umat yang menyusul sesudah generasi sahabat, sering kali menjadikan ijtihad para sahabat sebagai ikutan di samping al-Qur’an dan al-Sunnah. Kebanyakan sahabat adalah juga seorang mujtahid dan mereka berijtihad di dalam persoalan-persoalan yang baru timbul pada zaman mereka yang tidak disentuh secara terperinci oleh al-Qur’an dan al-Sunnah. Hasil ijtihad para sahabat digelar sebagai mazhab mereka, justeru wujud pada zaman tersebut Mazhab Ibn ‘Abbas, Mazhab Ibn Mas‘ud, Mazhab Ibn ‘Umar, Mazhab Hudzaifah bin Yaman, Mazhab ‘Ali bin Abi Thalib, Mazhab A’isyah dan puluhan lagi. Para tabi‘in tidak pernah membataskan ikutan mereka kepada mazhab seorang sahabat sahaja dan para sahabat juga tidak pernah membataskan para tabi‘in untuk mengikuti mazhab mereka sahaja. Setiap orang bebas melakukan talfiq kepada mana-mana mazhab para sahabat.[2]

7. Para imam mazhab sendiri selain daripada merujuk kepada al-Qur’an dan al-Sunnah, juga merujuk kepada ijtihad para sahabat. Namun mereka, para imam mazhab, tidak pernah membataskan rujukan mereka kepada mazhab seorang sahabat sahaja.



Analisa Pendapat.

Pihak yang melarang talfiq sebenarnya tidak memiliki apa-apa dalil atau hujah kecuali sangkaan dan imaginasi mereka sahaja. Bagaimana mungkin dilarang talfiq padahal al-Qur’an dan al-Sunnah tidak pernah melarangnya ? Sidang penyusun Ensiklopidi Hukum Islam menulis:

Tidak ada satu nas al-Qur’an atau Hadis yang menyatakan bahawa talfiq dilarang. Di samping itu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika berhadapan dengan dua pilihan yang dibenarkan agama selalu memilih yang paling mudah dan ringan (HR-Bukhari, Tirmizi dan Malik).

Hal ini sejalan dengan dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah al-Baqarah 02, ayat 185 yang ertinya Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu. Dalam ayat lain Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: Dan Dia (Allah) sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Maksud surah al-Hajj 22, ayat 78).[3]

Pihak yang melarang talfiq dalam ertikata yang lain mewajibkan umat Islam mengikuti satu mazhab tertentu sahaja. Ini adalah satu kewajipan yang tertolak. Sa‘id Ramadhan al-Buti menetapkan:

Permasalahan yang tidak diperselisihkan …… (ialah) tidaklah menjadi suatu kewajipan bagi seorang muqallid (pengikut mazhab) untuk mengikuti salah satu mazhab tertentu dan tidaklah menjadi suatu keharaman baginya untuk berpindah-pindah mazhab. Begitu juga, telah menjadi kesepakatan kaum muslimin bahawa seorang muqallid dapat memilih dan mengikuti salah satu imam mujtahid jika diyakini tentang kebenaran mazhab-mazhab mereka dan pendapat-pendapatnya, seperti seorang yang berpindah-pindah kepada salah satu daripada empat imam mazhab.

Maka seandainya sekarang ada yang melarang untuk berpindah-pindah mazhab, orang itu telah masuk ke dalam kategori fanatik yang menyesatkan yang telah menjadi kesepakatan kaum muslimin untuk meniadakannya (tiada dalil untuk mengharamkan).

Suatu yang harus diketahui oleh seorang peneliti, tidak ada perselisihan bahawa tidak ada hukumnya bagi seorang muqallid untuk tidak mengikuti satu mazhab sahaja atau berpindah-pindah ke mazhab yang lain. Ertinya, tidak ada kewajipan untuk terikat kepada salah satu mazhab tertentu, demikian juga tidak ada larangan untuk terikat kepada salah satu mazhab (sahaja).[4]

Senafas dengan ini ialah ulasan Yusuf al-Qaradhawi:

Yang terpenting adalah, hendaklah engkau mengetahui bahawa taqlid seorang awam kepada salah seorang imam merupakan hal yang dibolehkan sesuai dengan kaedah dan darjatnya dan ia bukan merupakan satu kewajipan sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian ulama’ kebelakangan. Ini kerana tidak ada satupun yang wajib kecuali apa yang telah diwajibkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah. Kenyataannya, kedua-dua sumber tersebut tidak mewajibkannya.

Berdasarkan hal ini tidak ada larangan bagi seorang Muslim untuk bebas mengikuti sesuatu mazhab tertentu atau bertanya kepada salah seorang ulama’ yang mudah dihubunginya berkenaan sesuatu masalah yang dihadapinya tanpa harus terikat kepada seorang imam sahaja sehingga tidak boleh bertanya kepada imam yang lain.

Jalan inilah yang ditempoh oleh para sahabat dan orang-orang yang mengikuti jejak mereka pada abad-abad terbaik umat ini. Allah telah menghindari mereka daripada praktik taqlid yang tercela ini (iaitu terbatas kepada satu imam atau mazhab sahaja).

Orang yang paling penting diberi kebebasan dalam menentukan mazhab mana yang ingin diikutinya ialah orang-orang baru memeluk Islam. Mereka boleh sahaja mengikuti apa yang sebenarnya tidak ditetapkan oleh Allah Ta‘ala, iaitu bertanya kepada mana-mana ulama’ yang mereka kehendaki. Juga sebaiknya untuk mereka dikarang buku-buku yang bersifat sederhana yang menjelaskan ajaran Islam tanpa terikat kepada satu mazhab tertentu.[5]

Lama sebelum itu Ibn Taimiyyah rahimahullah telah berkata:

Sesungguhnya yang diwajibkan ke atas manusia hanyalah taat kepada Allah dan Rasul-Nya serta Ulil Amri yang diperintahkan ketaatan kepada mereka oleh Allah sebagaimana firman-Nya:

(

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri” dari kalangan kamu. [al-Nisa’ 4:59]

Namun kewajipan untuk taat kepada mereka (Ulil Amri) hendaklah selari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya tanpa boleh terbebas dari itu sebagaimana firman Allah seterusnya:

Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [al-Nisa 4:59]

Oleh itu apabila seorang Muslim menghadapi masalah maka hendaklah dia meminta fatwa daripada orang yang diyakininya akan berfatwa berdasarkan syari‘at Allah dan Rasul-Nya tanpa mengira daripada mana-mana mazhab sekalipun. Tidak diwajibkan ke atas seorang jua daripada kaum muslimin ini untuk bertaqlid kepada seorang tokoh tertentu daripada kalangan para ilmuan dalam setiap apa yang diperkatakan. Tidak diwajibkan juga ke atas seorang jua daripada kaum muslimin ini untuk membataskan dirinya kepada mazhab tokoh tertentu sahaja selain daripada mazhab Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam setiap apa yang diwajibkan dan yang dikhabarkan dengannya. Ini kerana setiap manusia boleh diambil atau ditinggalkan perkataannya melainkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Seseorang yang mengikut mazhab tertentu disebabkan dia tidak mampu untuk mengetahui hukum syari‘at selain daripada tempatnya,[6] maka apa yang dilakukannya itu termasuk tindakan yang dibolehkan kepadanya. Ia tidak termasuk sebagai satu kewajipan (sebagaimana yang diwajibkan) ke atas setiap orang yang mampu mengetahui hukum syari‘at daripada metode dan kemudahan yang lain.[7]

Sebenarnya (yang diwajibkan) ke atas setiap individu ialah dia bertaqwa kepada Allah sesuai dengan kesanggupan dia dan menuntut ilmu tentang apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya kepada dia lalu dilaksanakan apa yang diperintahkan dan ditinggalkan apa yang dilarang (tanpa terbatas kepada perintah dan larangan yang disampaikan oleh seorang tokoh atau satu mazhab sahaja).[8]

Demikian juga, pihak yang mensyaratkan talfiq hanya dalam suasana terdesak atau berkeperluan sebenarnya hanya berfikir dalam skala yang kecil seperti status wudhu’ ketika tawaf di Baitullah dan membayar zakat fitrah pada bulan Ramadhan. Padahal jika benar faktor “terdesak” dan “berkeperluan” merupakan syarat yang membolehkan talfiq, ia seharusnya dilaksanakan dalam skala yang lebih luas demi kesatuan umat, toleransi hukum dan dinamisme fiqh. ‘Abd al-Rahman I. Doi menulis:

Takhayyur dalam bahasa fiqh bermaksud kebebasan seorang Muslim untuk mengikuti ajaran mana-mana empat Mazhab Islam yang sedia ada. Berlawanan bagi konsep takhayyur ialah taqlid, iaitu mentaati secara buta ajaran sesuatu mazhab tempat asal kelahiran seseorang itu. Dalam ertikata lain, seorang yang lahir di bumi Hanafi wajib bermazhab Hanafi sahaja dan seorang yang lahir di bumi Maliki wajib bermazhab Maliki sahaja. Apabila sahaja seseorang itu melakukan sesuatu yang yang diluar dari lingkungan mazhab asalnya, kebiasaannya akan timbul suasana kekecohan dan orang mula menggelarnya sebagai Ghair Muqallid, iaitu tiada ikutan / unorthodox.

Flowchart: Document: Apabila seseorang pe-ngikut mazhab Abu Hanifah, Malik, al-Syafi‘e atau Ahmad lalu ia melihat dalam sebahagian masalah mazhab yang lain ter-nyata lebih kuat lalu dia mengikutinya, maka dia telah melakukan sesuatu yang baik. Dia tidak menyalahi agama mahupun kredibilitinya.Konsep takhayyur bukanlah sesuatu yang baru. Yang pertama, tidak wujud sebarang mazhab-mazhab pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, empat Khalifah al-Rashidun dan para tabi‘in. (Yang kedua), malah para imam mazhab sendiri saling menyayangi antara satu sama lain dan menerima perbezaan pendapat sesama mereka dengan terbuka.

Maka oleh itu dengan sebab apakah konsep takhayyur tidak boleh diamalkan dalam umat Islam masa kini ? Sebagaimana kita tidak menggelar generasi awal umat Islam sebagai ‘ghair muqallid’, kita juga tiada punya hak untuk menggelar umat Islam masa kini yang mengamalkan konsep takhayyur sebagai ghair muqallid (tiada ikutan).

Jika konsep takhayyur dapat dijayakan, syari‘ah Islam akan lebih mudah diterima dan dipraktikkan di seluruh dunia. Jurang perbezaan dapat dirapatkan dan dengan itu konsep takhayyur dapat mewujudkan banyak keutamaan serta kelebihan kepada umat.

Keberhasilan takhayyur akan memberikan suasana harmoni dan kemudahan terhadap proses keadilan fiqh Islam kerana sememangnya pada hakikat kebenaran, setiap imam-imam mazhab pada asalnya tidak mempunyai sebarang tujuan lain kecuali kebaikan dan kebajikan umat. Justeru konsep takhayyur akan mengarah kepada konsep talfiq, iaitu mencampur dan menyelaraskan antara beberapa ajaran dan pendapat mazhab asalkan ia tidak terkeluar daripada batas-batas ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah. Takhayyur dan talfiq akhirnya akan dapat membawa kepada keperluan reform dan pembaharuan dunia Islam masa kini.[9]

Orang yang melakukan talfiq di mana dalam sebahagian masalah dia mengikut mazhab asalnya dan dalam sebahagian masalah yang lain dia mengikut satu atau lebih mazhab yang lain kerana kekuatan hujah mereka, dia tidak boleh dikritik sebagai seorang yang “tidak tentu hala”, “tiada mazhab” atau apa-apa kritikan lain yang bersifat negatif. Sepatutnya tindakan dia dipandang positif kerana sanggup melakukan analisa dan kajian untuk mengikut pendapat yang terkuat berdasarkan neraca ilmunya. Ibn Taimiyyah rahimahullah mengulas hal ini secara panjang lebar:

Apabila seseorang pengikut mazhab Abu Hanifah, Malik, al-Syafi‘e atau Ahmad lalu ia melihat dalam sebahagian masalah mazhab yang lain ternyata lebih kuat lalu dia mengikutinya, maka dia telah melakukan sesuatu yang baik. Dia tidak menyalahi agama mahupun kredibilitinya.

Bahkan sikap ini adalah lebih benar dan lebih dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya, shallallahu 'alaihi wasallam berbanding seseorang yang taksub kepada tokoh tertentu selain Nabi,[10] seperti orang yang taksub kepada Malik atau al-Syafi‘e atau Ahmad atau Abu Hanifah serta menganggap pendapat tokoh tersebut adalah yang benar yang mesti diikuti dan tidak boleh mengikut pendapat imam yang berbeza (pendapat) dengannya.

Sesiapa yang melakukan sedemikian, dia adalah orang yang jahil, sesat bahkan mungkin menjadi kafir. Ini kerana jika dia mati dalam suasana beriktikad (berkeyakinan) bahawasanya wajib ke atas manusia untuk mengikuti seseorang tokoh tertentu di antara para imam serta menyisihkan imam-imam yang lain, maka dia wajib disuruh bertaubat. Jika dia tidak mahu bertaubat maka dia boleh dibunuh.[11]

Apa yang boleh dikatakan dalam masalah ini ialah: Orang awam boleh atau sebaiknya atau sewajibnya[12] mengikuti seseorang tokoh tanpa membatasi kepada tokoh tertentu seperti si Zaid atau si Umar. Adapun orang yang berkata seluruh manusia wajib mengikuti si fulan si-fulan maka ini bukanlah perkataan yang berasal daripada orang Muslim.

Barangsiapa yang mendokong para imam dan mencintai mereka dengan mengikuti setiap seorang daripada mereka dalam masalah yang nampak baginya sehaluan dengan sunnah maka dia telah melakukan sesuatu yang baik. Bahkan sikap sebegini lebih baik daripada sikap selainnya dan tidak boleh dikatakan kepada dia orang yang “tidak tentu hala” sebagai satu bentuk sindiran yang negatif.[13]

Para imam agama, mereka berada di atas manhaj para sahabat, radhiallahu 'alaihim ajma‘in, yaitu bersatu padu dan bersepakat. Sekalipun mereka berbeza pendapat di dalam sebahagian hal furu’ di dalam syari‘at seperti thaharah, solat, haji, hukum talaq, faraid atau selainnya, kesepakatan mereka tetap menjadi hujah yang benar.

Maka sesiapa yang taksub kepada salah seorang tokoh daripada kalangan para imam dengan menyisihkan yang selainnya, maka dia seumpama golongan Rafidhah[14] yang taksub kepada kepada ‘Ali (bin Abi Thalib) dengan menyisihkan para khulafa’ yang tiga (Abu Bakar, Umar & ‘Utsman) serta majoriti sahabat. Dia juga seumpama golongan Khawarij[15] yang mengecam ‘Utsman dan ‘Ali radhiallahu ‘anhuma. Maka yang demikian merupakan jalan Ahl al-Bid‘ah dan Ahl al-Ahwa’ (orang yang mempertuhankan hawa nafsu) yang telah sabit di dalam al-Kitab dan al-Sunnah serta Ijma’ sebagai orang yang tercela. Mereka terkeluar daripada syari‘at dan manhaj yang diturunkan oleh Allah melalui Rasul-Nya shallallahu 'alaihi wasallam. Justeru sesiapa yang taksub kepada salah seorang imam maka dia sama seperti mereka, sama ada dia taksub kepada Malik atau al-Syafi‘e atau Abu Hanifah atau Ahmad atau selain mereka.

Seburuk-buruk akibat bagi orang yang taksub kepada salah seorang imam mazhab ialah dia menjadi jahil akan kemampuannya di dalam ilmu dan agama serta tidak tahu akan kemampuan orang lain sehingga akhirnya dia menzalimi diri sendiri dengan kejahilan tersebut. Padahal Allah menyuruh kepada sifat berilmu dan adil dan melarang daripada sifat jahil dan zalim. Firman Allah Ta‘ala:

Dan manusia sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan kejahilan. Akibatnya Allah akan menyeksa orang-orang lelaki yang munafik serta orang-orang perempuan yang munafik, dan orang-orang lelaki yang musyrik serta orang-orang perempuan yang musyrik; dan juga Allah akan menerima taubat orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman. Dan sememangnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Ahzab 33:72-73]

Flowchart: Document: Seburuk-buruk akibat bagi orang yang taksub kepada salah seorang imam mazhab ialah dia menjadi jahil akan kemampuannya di dalam ilmu dan agama serta tidak tahu akan kemampuan ora-ng lain sehingga akhirnya dia menzalimi diri sendiri dengan kejahilan tersebut.Abu Yusuf dan Muhammad (bin Hasan al-Syaibani) ialah dua orang pengikut setia Abu Hanifah, bahkan termasuk orang yang paling mengetahui pendapatnya (Mazhab Abu Hanifah) di kalangan orang ramai akan tetapi kedua-dua mereka seringkali tidak sependapat dengan Abu Hanifah dalam banyak hal terutamanya apabila mereka menemui dalil daripada al-Sunnah dan hujah yang menjadi wajib ke atas mereka untuk mengikutinya. Sekalipun demikian kedua mereka tetap menghormati imam mereka (Abu Hanifah) dan ini tidak boleh dikatakan sebagai “tidak tentu hala”.

Abu Hanifah dan para imam yang lain (apabila pada awalnya) mengemukakan satu pendapat lalu kemudian mereka menemui hujah lain yang berbeza dengan (pendapat yang awal), maka mereka akan berpendapat dengannya (pendapat yang baru). Tidak dikatakan kepada mereka sebagai “tidak tentu hala.”

Ini kerana manusia sememangnya sentiasa berada di dalam suasana pencarian ilmu dan iman, maka ketika jelas kepada dia satu ilmu yang sebelum itu terselindung daripadanya, dia akan mengikutinya dan ini tidak digelar sebagai “tidak tentu hala.” Malah sebaliknya, orang yang mencari petunjuk Allah akan diberi tambahan petunjuk oleh-Nya. Firman Allah Ta‘ala:

“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.” [Taha 20:114]

Kewajipan setiap mukmin ialah membantu setiap mukmin yang lain dan para ulama’, mencari kebenaran dan mengikutinya di mana jua mereka menemuinya. Dan perlu diketahui bahawa sesiapa yang berijtihad di kalangan mereka (para imam) dan ia benar maka baginya dua pahala manakala sesiapa yang berijtihad di kalangan mereka lalu tersilap maka baginya satu pahala kerana usaha ijtihadnya dan kesilapannya itu dimaafkan.

Termasuk kewajipan ke atas setiap mukmin ialah mereka mengikuti imam mereka selagi mana mereka melakukan apa yang selari dengan syari‘at. Ini kerana Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:

Sesungguhnya diangkat seorang imam hanya untuk diikuti.[16]

Sama ada imam mengangkat tangannya atau tidak mengangkat tangannya (ketika solat) ia tidaklah merosakkan solat mereka atau membatalkannya. Tidaklah di sisi Abu Hanifah mahupun al-Syafi‘e, Malik dan Ahmad, jika imam mengangkat tangan (ketika solat) dan makmum tidak mengangkat tangan, atau yang sebaliknya, bahawa ia merosakkan solat seorang jua daripada mereka. Demikian juga, jika seorang itu mengangkat tangan pada sebahagian waktu kemudian tidak mengangkatnya pada sebahagian waktu yang lain, ia tidaklah merosakkan solatnya.

Flowchart: Document: Maka sesiapa yang me-lafazkan iqamah secara genap maka ia adalah baik dan sesiapa yang melafazkan iqamah se-cara tunggal maka ia adalah baik juga. Se-baliknya sesiapa yang mewajibkan salah satu bentuk iqamah (tunggal atau genap) dan meng-haramkan yang bentuk lain maka dia telah salah lagi tersesat.Oleh itu tidak boleh bagi seseorang itu mengambil pendapat sebahagian ulama’ dan mewajibkan ikutan kepadanya serta melarang pendapat yang lain selagi mana ia (pendapat yang lain itu) selari dengan sunnah. Bahkan (tidak boleh melarang) setiap pendapat yang selari dengan sunnah yang amat luas ini, seperti permasalahan azan dan iqamah: telah sabit di dalam Shahih al-Bukhari dan Muslim daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bahawa baginda menyuruh Bilal (bin Rabah) melafazkan azan secara genap dan iqamah secara tunggal. Namun sabit juga di dalam Shahih al-Bukhari dan Muslim bahawa baginda mengajar Abu Mahzurah melafazkan iqamah secara genap sepertimana azan.

Maka sesiapa yang melafazkan iqamah secara genap maka ia adalah baik dan sesiapa yang melafazkan iqamah secara tunggal maka ia adalah baik juga. Sebaliknya sesiapa yang mewajibkan salah satu bentuk iqamah (tunggal atau genap) dan mengharamkan yang bentuk lain maka dia telah salah lagi tersesat. Demikian juga, sesiapa yang mendukung orang yang melakukan salah satu bentuk iqamah dan melarang yang lain maka dia telah salah lagi tersesat.

……… Bab ini sebenarnya adalah ringan lagi mudah sehingga tidak memerlukan fatwa berkenaannya. Ini kerana berpegang teguh dengan jamaah dan persatuan umat termasuk dalam salah satu prinsip asas agama sedangkan hal-hal yang diperselisihkan (perbezaan pendapat di dalam mazhab) tidak lebih hanyalah perkara cabang yang ringan. Oleh itu kenapakah prinsip jamaah dan kesatuan umat dirosakkan hanya semata-mata kerana ingin memelihara sesuatu yang cabang ? [17]





Dua Catitan Penting:

Pertama:

Memilih-milih antara ajaran mazhab (talfiq) tidak boleh dilakukan semata-mata atas Flowchart: Document: Orang yang melakukan talfiq kerana mencari kemudahan hukum tidak akan berpuas hati dengan kemudahan yang dite-muinya lalu dia terus mencari-cari sehingga akhirnya dia me-nemui pendapat termudah yang sebenarnya terletak di luar syari‘at Islam.alasan mencari yang mudah kerana ini bererti meremehkan agama yang akhirnya akan menyebabkan dia terkeluar daripada syari‘at Islam. Ini kerana orang yang mencari kemudahan hukum adalah mereka yang ingin memuaskan kehendak nafsunya padahal nafsu adalah sesuatu yang tidak pernah berpuas hati apabila kehendaknya dituruti. Oleh itu orang yang melakukan talfiq kerana mencari kemudahan hukum tidak akan berpuas hati dengan kemudahan yang ditemuinya lalu dia terus mencari-cari sehingga akhirnya dia menemui pendapat termudah yang sebenarnya terletak di luar syari‘at Islam.

Contohnya ialah orang yang mencari-cari mazhab yang paling mudah dalam konteks hukum dan syarat pembayaran zakat tahunan. Dia akan terus mencari yang termudah sehingga akhirnya menemui pendapat aliran modernis yang mengatakan zakat tidak lain adalah cukai yang biasa dikenakan oleh pihak pemerintah. Maka dia mengikut pendapat aliran modernis ini yang sebenarnya sudah jelas terkeluar daripada syari ‘at Islam.

Orang yang hendak melakukan talfiq dengan mengikuti satu atau lebih pendapat yang berada di luar mazhabnya hendaklah memerhatikan beberapa syarat berikut:

1. Hendaklah dipastikan bahawa pendapat yang bakal diikutnya itu benar-benar berasal daripada salah seorang imam mujtahid atau tokoh yang muktabar.

2. Berdasarkan kemampuan masing-masing, pendapat yang bakal diikuti itu adalah berdasarkan kajian dan analisa ilmiah agar ia menjadi pegangannya yang yakin lagi mententeramkan hati.

3. Jika pendapat yang bakal diikuti itu pada zahirnya bersifat lebih mudah, dibolehkan mengikutinya dengan tujuan menambah imannya, meneguhkan taqwanya dan meningkatkan amalnya dalam rangka mentaati dan menghampirkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.


Flowchart: Document: Jika pendapat yang bakal diikuti itu pada zahirnya bersifat lebih mudah, dibolehkan me-ngikutinya dengan tuju-an menambah imannya, meneguhkan taqwanya dan meningkatkan amalnya dalam rangka mentaati dan meng-hampirkan diri kepada Allah.

Kedua:

Tidak boleh melakukan talfiq dengan memilih-milih ajaran yang berasal daripada Mazhab Syi‘ah. Ini kerana Mazhab Syi‘ah memiliki rujukan dan kaedah pengambilan hukum yang berlainan dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah.

Dibolehkan mengikut Mazhab Ja’fari (Ja’far al-Siddiq[18]) kerana beliau adalah salah seorang tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dan beliau bukan tergolongan di dalam Mazhab Syi‘ah sekalipun pihak Syi‘ah mendakwa yang sebaliknya. Namun perlu disemak bahawa rujukan kepada Mazhab Ja’fari benar-benar berasal daripada Ja’far al-Siddiq kerana banyak ajaran beliau yang telah diubah oleh pihak Syi‘ah.





^Kembali Ke Atas

| 12. Berusaha Menjauhkan Taqlid




[1] Ensiklopidi Islam: ‘Talfiq’.

[2] Ibn al-Munayyar (ابن المنير) membezakan antara umat Islam hidup sebelum para imam mazhab yang empat dan yang selepasnya. Beliau berkata, umat Islam sebelum para imam mazhab yang empat bebas mengikut mana-mana pendapat (mazhab) sahabat manakala yang hidup selepas para imam mazhab tidak lagi bebas – mereka harus mengikut satu mazhab tertentu sahaja. Hal ini dinukil oleh al-Zarkasyi di dalam al-Bahr al-Muhith, jld. 8, ms. 373. Pendapat Ibn al-Munayyar ini ditolak keras oleh al-Syaukani di dalam al-Sail al-Jarrar, jld. 1, ms. 22.

[3] Ensiklopidi Hukum Islam – Talfiq.

[4] Mazhab Tanpa Mazhab: Bid‘ah dalam Syari‘at Islam (edisi terjemahan oleh Gazira Abdi; Pustaka al-Kautsar, Jakarta 2001), ms. 9 dengan beberapa suntingan bahasa daripada penulis untuk memudahkan kefahaman.

[5] Bagaimana Berinteraksi Dengan Peninggalan Ulama’ Salaf (edisi terjemahan oleh Ahrul Tsani & Muhtadi Abdul Mun’im; Pustaka al-Kautsar, Jakarta 2003), ms. 118.

[6] Iaitu selain daripada mazhabnya. Ibn Tamiyyah menyebut “tempat” kerana pada zaman beliau sesuatu mazhab dibatasi kepada sesuatu tempat dan untuk mengetahui mazhab yang lain orang tersebut perlu berhijrah keluar dari tempatnya. Pada masa kini tidak perlu berhijrah kerana perkembangan ilmu dan medium penyampaian membolehkan pengkajian dari satu tempat sahaja.

[7] Yakni bagi orang yang mampu, wajib bagi dia mendalami ilmu-ilmu agama tanpa terbatas kepada mazhabnya sahaja. Ini kerana menuntut ilmu adalah wajib hukumnya sebagaimana perintah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Menuntut ilmu adalah wajib atas setiap Muslim.” [Sahih: Hadis mutawatir yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Ibn Hibban, al-Thabarani dan lain-lain, dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Jami’ al-Shagheir – no: 3913].

[8] Majmu’ al-Fatawa, jld. 20, ms. 208-209.

[9] Shari‘ah: The Islamic Law – Shari’ah in The 15th Century of Hijrah: Need for the Modern Islamic Society, ms. 470-471.

[10] Iaitu seseorang itu hanya boleh taksub kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, bukan kepada sesama manusia lain walau setinggi mana sekalipun kemasyhurannya.

[11] Fatwa Ibn Taimiyyah yang keras ini adalah kerana orang yang taksub kepada mazhab sehingga mewajibkan ikutan kepada satu mazhab dan mengharamkan mazhab lain, amat cenderung kepada perbuatan memecah-belahkan umat kepada berpuak-puak. Perbuatan sebegini amat dicela oleh Allah sebagaimana di dalam surah al-Rum 30, ayat 31-32.

[12] Hukum wajib khas kepada seorang Muslim yang tidak berkemampuan dari sudut kecerdasan akal atau kemudahan fizikal untuk mendalami dan mengkaji ilmu-ilmu agama. Bagi orang yang berkemampuan, mereka tidak boleh sekadar menjadi pengikut tetapi wajib mendalami dan mengkaji ilmu-ilmu agama. Lihat perbicaraan ini dalam bab seterusnya. - Penulis.

[13] Majmu’ al-Fatawa, jld. 22, ms. 248-249.

[14] Al-Rafidhah ialah salah satu aliran di dalam Syi‘ah yang menolak kekhalifahan Abu Bakar dan Umar.

[15] Khawarij ialah salah satu aliran yang timbul semasa Perang Siffin dan Jamal selepas pembunuhan ‘Utsman radhiallahu ‘anh.

[16] Sahih: Hadis daripada Anas bin Malik radhiallahu ‘anh, diriwayatkan oleh Malik, Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa‘i dan Ibn Majah, lihat Shahih Muslim – no: 411 (Kitab Solat, Bab Makmum mengikuti imam).

[17] Majmu’ al-Fatawa, jld. 22, ms. 252-254.

[18] Beliau ialah al-Imam al-Mujtahid Ja’far bin Muhammad bin ‘Ali bin Husain bin ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhum. Beliau dilahirkan di Madinah pada 17 Rabi’ al-Awwal tahun 83H dan merupakan seorang ahli hadis, ahli tafsir, ahli fiqh dan pelbagai lagi ilmu-ilmu Islam. Pendapat-pendapat beliau dihimpun dan dikenali sebagai Fiqh Mazhab Ja’fari. Meninggal dunia pada 25 Syawal tahun 148H di Madinah juga.

Tidak ada komentar: