Kepentingan Mazhab Kepada Umat Islam
Daripada bab sebelumnya, jelas bahawa setiap individu Muslim wajib mentaati ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah. Walaubagaimanapun diakui bahawa tidak semua orang dapat merujuk terus kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Ini kerana manusia memiliki kemampuan yang berbeza-beza yang secara umumnya dapat dibahagikan kepada 3 tahap:
Pertama: Mereka yang dapat mengkaji dan memahami secara terus nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah dan mampu mengeluarkan hukum daripadanya.
Kedua: Mereka yang tidak dapat mengkaji dan tidak mampu mengeluarkan hukum daripadanya.
Flowchart: Document: Tujuan sebenar mazhab-mazhab Islam sejak dari da-hulu ialah memudahkan umat Islam mencapai ketaatan ke-pada al-Qur’an dan al-Sun-nah. Setiap ajaran mazhab adalah berdasarkan al-Qur’-an dan al-Sunnah, oleh itu mengikuti mazhab bererti mengikuti al-Qur’an dan al-Sunnah.Ketiga: Mereka yang berada di pertengahan antara tahap pertama dan kedua di atas.
Bagi seorang yang berada di tahap yang pertama, dia dibolehkan merujuk secara terus kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Malah merupakan satu kesalahan bagi dia untuk menurut sahaja (taqlid buta) sesuatu mazhab kerana berbuat sedemikian bererti dia menderhakai kelebihan yang diberikan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepadanya.
Sebaliknya bagi seorang yang berada di tahap kedua dan ketiga, bagi mereka diharuskan mengikut sesuatu mazhab fiqh Islam. Sememangnya inilah tujuan sebenar mazhab-mazhab Islam sejak dari dahulu, iaitu memudahkan umat Islam mencapai ketaatan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Ini kerana setiap ajaran mazhab adalah berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah, oleh itu mengikuti mazhab bererti mengikuti al-Qur’an dan al-Sunnah.
Muhammad 'Awwamah menulis:
(Mazhab) Fiqh dari para fuqaha - Abu Hanifah dan ulama'-ulama' lainnya tentang berpuluh-puluh ribu permasalahan fiqh Islami adalah sebenarnya penafsiran terhadap sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan bukan merupakan unsur luar yang dimasukkan ke dalam Islam dan bukan pula hasil rekaan akal mereka yang tidak disandarkan kepada sumber asli syari‘at Islam.
Apabila kita berkata fiqh (atau mazhab) Abu Hanifah atau fiqh (mazhab) al-Syafi‘e …… maka maksud sebenar perkataan kita itu ialah “Pemahaman Abu Hanifah dan Pemahaman al-Syafi‘e.” Pemahaman terhadap
apa ? Tak lain adalah pemahaman mereka terhadap al-Qur'an dan Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Demikianlah kerana asal perkataan 'fiqh' di dalam bahasa Arab bererti 'pemahaman'.[1]
Mazhab-mazhab fiqh Islam berperanan sebagai jalan bagi membawa seorang Muslim itu kepada ketaatan terhadap al-Qur’an dan al-Sunnah. Ia memudahkan umat yang tidak berkemampuan untuk mendekati ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah secara terus. Ini sebagaimana terang al-Sya’rani rahimahullah:
Tujuan yang ingin dicapai oleh para imam mazhab ialah menjelaskan kepada manusia apa yang telah difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan apa yang disabdakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat umum kerana kebanyakan ahli masyarakat tidak mampu memahami dalil-dalil al-Qur'an dan Hadis secara langsung.[2]
Demikian juga ulas Abu Ameenah Bilal Philips:
Melalui kajian peredaran sejarah, dapat kita ketahui bahawa Fiqh Islam dan mazhab-mazhabnya mempunyai hubung-kait yang erat antara satu sama lain dalam menyumbang kepada kefahaman kepada al-Qur’an dan al-Sunnah sama ada secara umum mahupun khusus.
Hendaklah diakui bahawa kedua-dua fiqh Islam dan mazhab-mazhabnya diperlukan bagi menyokong sumber wahyu yang diturunkan, iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah dalam menggariskan panduan-panduan bagi keseluruhan umat beribadat dan menjalani kehidupan duniawi.
Berdasarkan ilmu dan kebijaksanaan yang dikurniakan Allah kepada umat-Nya terutama ulama’-ulama’, sumber al-Qur’an dan al-Sunnah dapat ditafsirkan dan diterjemahkan bagi memenuhi keperluan semua lapisan umat sezaman dan di sinilah dapat dilihat keutamaan fiqh dan mazhab dalam agama Islam.[3]
Namun dalam kita bermazhab, perlu diperhatikan beberapa batasnya. Pertama, ketaatan yang sebenar adalah kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Mazhab hanya berperanan memudahkan ketaatan tersebut, bukan menggantikannya.
Kedua, mengikuti mazhab bukanlah bererti membebaskan diri daripada sifat belajar dan mengkaji. Ini kerana menuntut ilmu merupakan salah satu kewajipan agama sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Menuntut ilmu adalah wajib atas setiap Muslim.[4] Oleh itu wajib belajar ajaran fiqh mazhab dengan mengkaji dalil-dalilnya dan membandingkannya dengan mazhab yang lain atau penelitian semula oleh tokoh terkemudian.
Hasan al-Banna rahimahullah menasihatkan:
Bagi setiap Muslim yang belum mencapai tingkat ‘mujtahid’ terhadap dalil-dalil umum syari‘at, diperbolehkan baginya untuk mengikut pendapat salah seorang imam agama (imam mazhab).
Namun sangat dianjurkan agar dia berusaha dengan segenap kemampuannya untuk mempelajari dalil-dalil yang dipergunakan oleh imam yang diikutinya dan tetap bersedia menerima kebenaran dari orang lain yang berhak mengemukakannya.
Selain itu dia harus berusaha menyempurnakan segala kekurangan ilmunya jika dia adalah seorang yang mampu melakukan hal itu sehingga akhirnya dia dapat mencapai kedudukan sebagai seorang mujtahid.[5]
Flowchart: Document: Bagi orang yang mampu meng-kaji secara terus kepada dalil al-Qur’an dan al-Sunnah, me-reka tidak memerlukan mazhab melainkan sekadar sumber me-luaskan skop kajian. Bagi orang yang tidak mampu, mereka memerlukan mazhab sebagai jalan yang memudahkan keta-atan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Golongan yang perta-ma tidak boleh mengecam golo-ngan yang kedua dan begitulah juga sebaliknya.Mutakhir ini terdapat segelintir pihak yang menolak mazhab fiqh Islam dan melarang orang ramai daripada bermazhab. Golongan ini pernah ditegur oleh al-Sya’rani rahimahullah:
Janganlah anda menolak atau melemahkan pendapat salah seorang imam mujtahid (imam mazhab) hanya berdasarkan kefahaman anda yang dangkal terhadap al-Qur’an dan al-Sunnah kerana pemahaman anda itu tidak lain hanyalah seperti angin yang berlalu jika dibandingkan dengan kefahaman para imam mujtahid.[6]
Senafas dengan teguran di atas ialah apa yang diperkatakan oleh Taha Jabir al-‘Alwani:
Hanya berdasarkan kepada pengkajian sebuah buku berkenaan ilmu Islam yang sekian luas ini, seseorang itu tidaklah dapat mengkategorikan dirinya sebagai seorang mujtahid, iaitu seseorang yang layak untuk mengeluarkan hukum dengan sendiri.[7]
Yusuf al-Qaradhawi mengulas lebih lanjut:
Pada abad kita sekarang ini ada orang-orang yang menyatakan diri mereka sebagai mujtahid dan mengajak orang-orang lain untuk turut menjadi mujtahid.
Mereka beranggapan mampu mengarah manusia kepada satu arah yang mereka buat dan menyatukan manusia ke dalam satu pendapat yang mereka anuti, sesuai dengan pemahaman mereka terhadap nas syari‘at. Dengan cara ini lenyaplah mazhab-mazhab yang ada dan hapuslah segala bentuk perbezaan pendapat sehingga semua orang bertemu dalam kalimat yang satu.
Tetapi mereka lupa bahawa pemahaman mereka terhadap nas, tidak lebih dari sekadar pendapat yang boleh mengandungi kesalahan atau kebenaran. Tidak ada seorang ulama’ yang maksum pendapatnya, sekalipun dia telah memenuhi segala syarat ijtihad. Dia hanya terjamin mendapat pahala atas ijtihadnya, sama ada benar atau salah.
Oleh kerana itu golongan ini hanya akan mewujudkan satu mazhab yang baru di samping mazhab-mazhab yang sedia ada. Selain itu dengan anehnya mereka mengecam para pengikut mazhab kerana bertaqlid kepada para imam mazhabnya padahal mereka sendiri menuntut orang ramai agar bertaqlid dan mengikut mereka !
Janganlah anda beranggapan bahawa saya menolak ajakan mereka untuk mengikuti nas atau mengecam ijtihad mereka dalam memahami nas. Hal ini adalah merupakan hak setiap Muslim yang telah memenuhi syarat-syarat ijtihad. Tidak seorangpun yang punya hak untuk pintu ijtihad yang dibuka oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam untuk umatnya.
Apa yang saya tolak adalah kesombongan mereka (golongan anti mazhab) terhadap metodologi para ulama’ umat, sikap mereka yang melecehkan warisan fiqh, tuntutan mereka bahawa mereka sahaja yang paling benar sedangkan orang lain adalah keliru, serta anggapan bahawa mereka mampu menghapuskan perbezaan pendapat dan menyatukan semua orang ke dalam satu pendapat, iaitu pendapat mereka sendiri.[8]
Oleh itu yang benar mazhab-mazhab fiqh Islam memiliki kepentingan kepada umat Islam, hanya tahapnya yang berbeza-beza. Bagi orang yang mampu mengkaji secara terus kepada dalil al-Qur’an dan al-Sunnah, mereka tidak memerlukan mazhab melainkan sekadar sumber meluaskan skop kajian. Bagi orang yang tidak mampu, mereka memerlukan mazhab sebagai jalan yang memudahkan ketaatan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Golongan yang pertama tidak boleh mengecam golongan yang kedua dan begitulah juga sebaliknya.
^Kembali Ke Atas
| 9. Wasiat Para Imam Mazhab Kepada Umat Islam
[1] Melacak Akar Perbedaan Mazhab: Pengaruh Penggunaan Hadis Terhadap Perbedaan Pendapat Di Kalangan Ulama Fiqh (edisi terjemahan oleh Zarkasyi Hasan; Pustaka Hidayah, Jakarta 1997), ms. 68.
Syaikh Muhammad 'Awwamah, ialah seorang tokoh ilmuan yang berpusat di Institusi pendidikan Syari‘at Islam, Aleppo (Halab), Syria.
[2] al-Mizan al-Kubra, jld. 1, ms. 92.
[3] The Evolution of Fiqh, ms. 117.
[4] Sahih: Hadis mutawatir yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Ibn Hibban, al-Thabarani dan lain-lain, dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Jami’ al-Shagheir – no: 3913.
[5] Hasan al-Banna – Risalah al-Ta’alim sebagaimana yang dikemukakan oleh al-Qaradhawi di dalam Fiqh al-Ikhtilaf, ms. 206.
Syaikh Hasan al-Banna lahir di Mesir pada 1323H/1906M. Beliau ialah seorang tokoh pergerakan dan pembaharuan Islam yang pengaruhnya dirasai oleh seluruh dunia. Bernaungkan prinsip al-Qur'an dan as-Sunnah, al-Banna memulakan gerakan Ikhwanul Muslimin (Persaudaraan Islam) yang antara lain berusaha untuk menghapuskan permisahan antara politik dan agama (secularism), memupuk semangat kehidupan Islam yang sebenar, menghindari perselisihan dan perpecahan umat dan memodenkan semula umat berdasarkan Islam. Perjuangannya meliputi aspek moral, sosial, pendidikan, wanita, ekonomi, sains dan politik. Walaubagaimanapun perjuangan beliau tidak lama kerana pada usia muda 43 tahun nyawanya ditamatkan melalui tembusan peluru, dipercayai berpunca dari tembakan anggota perisik pemerintah.
[6] al-Mizan al-Kubra, jld. 1, ms. 33.
[7] al-‘Alwani – The Ethics of Disagreement in Islam, ms. 119.
[8] Fiqh al-Ikhtilaf, ms. 204-205.
Sabtu, 21 Juni 2008
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar